Anda Dihargai....

Khamis, 17 Mac 2011

Berpagi-pagianlah kamu......

Berpagi-pagianlah kamu, 
kerana di situ adanya keberkatan hidup.....


Apabila terbit sahaja matahari, sudah tersedia segenap pintu rezeki untuk mereka yang menginginkannya. Samada kita akan mengusahakannya atau terus alpa dengan segala macam kelekaan yang melalaikan... Waktu pagi adalah sangat utama dalam memulakan hari kita dan kehadirannya penuh barakah, jika kita benar-benar menghayatinya.


Manusia sebagai insan yang sering lupa...sekali ingat, seribu kali terleka. Sekali insaf, berkali-kali pula kan ingkar semula... Namun, Dia yang Maha Esa tak pernah menghampakan hamba-hambaNya untuk sentiasa memperbaharui azam setiap detik dan ketika. Apa yang penting adalah kekuatan dalaman diri sendiri untuk ada keinginan ke arah yang lebih baik....sebelum terlambat dan menyesal tiada kesudahan...
 
Antara amalan yang lazim dilakukan untuk kemanfaatan diri agar lebih dekat kepadaNya adalah :
Pertama :- Membaca , menghayati dan menghafal Al-Quran

Kedua :- Berzikir dan mempelajari agama

Al Qadhi mengatakan bahwa inilah sunnah yang biasa dilakukan oleh salaf us soleh dan para ulama. 
 
"Mereka biasa memanfaatkan waktu tersebut untuk berdzikir dan berdo’a hingga terbit matahari.” 
(Syarh An Nawawi ‘ala Muslim, 8/29, Maktabah Syamilah)
 
 
Ketiga :- Bekerja - mencari rezeki 
            (bermakna membuat perkara-perkara yang bermanfaat)

Seorang sahabat di zaman Nabi s.a.w, Shokr Al-Ghomidi, seorang pedagang telah menjadi kaya-raya apabila menuruti saranan Nabi s.a.w dengan mengusahakan dagangannya di pagi hari yang penuh barakah.


Bagaimana pula dengan diri kita? 

Ramai di antara kita sering alpa di waktu pagi ini. Sering sahaja kita melihat yang bertidur-tiduran di awal pagi. Sesudah subuh dikerjakan, lena semula. Bukankah itu suatu perkara yang merugikan...? 

Untuk itu, para fuqaha' memakruhkan tidur selepas solat subuh. Disebutkan ulama bahawa tidur selepas solat Subuh adalah makruh, dikecualikan dari kemakruhan ini adalah mereka yang berjaga malam uuntuk qiyam dan sebagainya.

Mari kita amalkan tips 5S ini, untuk mengelakkan kita daripada tidur di awal pagi..... 
 
01.Subuh
Jangan tinggal solat Subuh bagi yang boleh melaksanakannya. Dan lebih elok, sambung dengan bacaan Ma'thurat atau al-Quran.

02.Senaman
Buatlah senaman yang ringan dalam rumah, kalau rajin, berjoging di luar rumah. Jalan kaki juga dikira senaman.

03.Sembang
Rupanya borak-borak pun boleh hilangkan mengantuk. Selalu juga buat kalau ada sahabat yang turut tidak tidur lepas subuh. Tapi jangan sembang benda- benda yang lagha; nanti pagi-pagi sudah kumpul dosa. Nauzubillah.

04.Sapu rumah
Betul, kalau tidak percaya, cubalah. Ini juga salah satu senaman.

05.Selesai atau Sempurna
Pastikan semua yang kita buat tu semuanya selesai. Yela, nak hilangkan mengantuk, kita pun pergi la cari penyapu nak sapu rumah, tapi tidak sampai 3 minit, kita sudah masuk tidur balik sebab tak tahan mengantuk sangat.

 SELAMAT MENCUBA!
 
"Sebarkanlah ajaranku walau satu ayat pun" 
(Sabda Rasulullah SAW)

"Nescaya Allah memperbaiki bagimu amalan-amalanmu dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. 
Dan barangsiapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, 
maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar." 
(Surah Al-Ahzab:71)

Isnin, 14 Mac 2011

Masa, amanah dan ujian yang pasti.

Mungkin menjadi persoalan, kenapa menyepi agak lama juga..... Macam-macam ujian yang mendatang. Di sekolah, di rumah, hal-hal kerja, hal-hal anak-anak, hal-hal hati dan semuanya lah....

Ada sering dahulu ku teringat akan kata-kata para naqib dan ustaz-ustaz yang berceramah....."Kita akan merasai yang masa yang kita punyai semakin sedikit berbanding tanggungjawab dan tugas dan amanah yang perlu kita selesaikan dalam kehidupan ini." Itulah juga sebagai petanda akhir zaman yang semakin mendekati kita semua....



Nah, semakin terasa dibuatnya....saban hari semakin dirasakan seolah-olah masa itu semakin melarikan diri; sedangkan kerja, tugas, amanah masih belum langsai tugasannya.... Dalam pada itu, diselangi pula lagi dek segala macam ujian dan mehnah dalam meniti hari-hari yang berbaki ini untuk melunaskan segala amanah yang diberi...


Seiring itu jugalah kekadang itu, nilai sebuah persaudaraan dan ukhuwwah adakalanya dikhianati diri ini...hinggakan hati seorang sahabat boleh terluka, hati seorang ibu terus terasa.....aarrrghhh, teruknya diri ini, bisikku berkali-kali.... Ya Allah, seringkali diri ini diuji, dalam satu ketika, pelbagai macam ujian yang datang menimpa... Bersabarlah, duhai empunya hati, sesungguhnya segalanya ini sebagai tanda-tanda, kasihnya Allah pada mereka yang dikehendakiNya... Yakinlah pada janjiNya yang satu itu, di akhir sana....

Titisan embun itu pun pasti ada mehnahnya.....
Semoga segalanya ini, kan dapat kuharungi dengan kekuatan yang mungkin hanya sekelumit berbaki di dalam diri.... Ingat selalu pesan mereka; "Allah tidak akan memberati sesuatu kaum(seseorang) itu, melainkan dengan apa yang termampu ditanggung oleh kaum(orang) itu." Yakinlah di sebalik semua yang terhampar untukmu ini, pasti ada seribu hikmah di sebaliknya... Insya Allah....

Khamis, 17 Februari 2011

"Puan sebenarnya nak ke mana?"

Petang tadi, dalam perjalanan pulang dari mengambil Along dari sekolahnya, tergerak di hati untuk singgah ke klinik bagi bertanyakan ubat yang tiada dalam stok masa bawa ibu minggu lepas... Namun, dalam pada itu, tangan ini pantas aje menekan handset, untuk menghubungi klinik terlebih dahulu...


Sebaik sahaja pihak klinik memberitahu, ubat yang kutanya masih belum sampai lagi, dengan tanpa berfikir panjang, aku terus membuat "U-turn" sebab memang pasti jalan lengang dan selamat untuk kubuat pusingan pada ketika itu....

Tersilap aku, kerana ada mata-mata yang memerhati rupanya tindakanku sebentar tadi....

Setelah memandau dalam 200meter ke hadapan, aku terdengar hon dan bila kukerling menerusi cermin sisi, "Alamakkk......kena lah aku!"



Kupandu ketepi jalan sementara si encik polis pun memberhentikan motornya beberapa meter di hadapan keretaku. Aku terus mengeluarkan I.C(langkah bersedia dan untuk menghilangkan rasa gementar). Dalam hati, mulalah gelabah..mulut pulak kumat-kamit membaca doa, macam-macam doa yang terlintas aku baca...

"Minta I.C," pintanya. Aku terus menghulurkan.
"Puan sebenarnya nak ke mana?" tanya beliau lagi.

"Saya nak ke klinik Amal," jawabku sambil menunjukkan slip ubat kepunyaan ibu kepadanya.
"Dalam pada itu, pihak klinik memberitahu saya ubat memang tiada dalam stok lagi," kataku lancar.
"Sebab itulah saya terus pusing.... Saya minta maaf lah encik," balasku lagi penuh simpati.

"Owh, jadi Puan tahulah kesalahan apa Puan buat, ye..?" tanyanya pula,

"Ya, saya tahu. Saya minta maaf sekali lagi..." lembut aje bahasaku.

"Anak saya pun memang saya bawa ke klinik Amal tu. Memang serasi kat sana," ceritanya kepadaku. Tersenyum hatiku, bisikku sendirian...Alhamdulillah..... "Puan tinggal mana?" tanya beliau lagi.

"Saya duduk di Bukit Serindit. Encik pula?" tanyaku ramah.

"Saya di Duyong," jawabnya ringkas.

"Owh," kataku.

"Lain kali jangan buat lagi, ye," katanya yang kuanggap suatu arahan penuh hikmah.

"Baiklah, insya Allah," kataku ringkas.

Beliau berlalu....

Iktibar cerita :

Aku respect cara encik polis ini bertugas. Tidak seperti sesetengah polis trafik yang pernah menahanku selama mana aku pernah menjadi pemandu semenjak 1997 lagi. Ada antaranya tu, bila berhenti aje, terus keluarkan buku samannya dan pen. Atau paling tidak pun, berhenti sebelah pintu kita, sambil mencekak pinggang.


Sekurang-kurangnya dengan sikap yang ditunjukkan oleh encik polis ini tadi, dapatlah aku memadam nostalgia lama yang tak enak dialami sebelum ini.


Jangan jadi macam mamat ni!

Rabu, 16 Februari 2011

M.A.T.I dan S.A.B.A.R


Andai seseorang itu ingat akan suatu kepastian di hadapan sana...
Iaitu lah sebuah KEMATIAN,
Maka, 
diri akan sering terjaga dek dosa dan noda.

Andai diri itu tadi sering pula diingat-ingatkan tentang 
Suatu epilog KEMATIAN itu,
Maka, di dalam hati akan selalu
Ingat pada ILlahi..

Air mata nan terukir,
Untuk apa selalunya?
Tanyalah diri sendiri,
Apakah setitis air mata yang gugur ke bumi itu
Kerana tanda penyesalan seorang hamba 
Yang banyak dosa?
Atau semata-mata
Sebab dunia
Yang fana...

Insaflah,
Sedarlah,
Bersabarlah,
Yakinlah pada janji-janjiNya...
Bersedialah,
Muhasabahlah selalu...

Moga kan dapat mencedok secebis kasih ILlahi
Di penghujung usia dunia fana itu tadi...

Insya ALlah...

Isnin, 14 Februari 2011

Keletihan dia......


Kepenatan sungguh nampaknya puteri tunggalku. dalam pada ia bercerita sambil membuat kerja rumah, tiba-tiba senyap aje... Bila kutoleh, tengok-tengok dah senyap, rupa-rupanya dah lena.....

Penat agaknya sekolah pagi dan sekolah petang....tak mengapalah, bakal pelajar pintar, anak solehah harapan keluarga. Asma' ni lah temanku sekarang. Bila-bila dia perasan ibunya dalam berduka, dialah yang akan jadi penenang jiwaku yang bergelora...mengambil alih tugas seorang kaunselor... Ramai juga yang berkata, anak perempuan ni  nanti, semakin meningkat umur remajanya, dia akan menjadi teman baik kita...

Wallahua'lam...

 

Sabtu, 5 Februari 2011

KepadaMu Kekasih

KepadaMu Kekasih
Aku berserah
Kerana ku tahu Kau lebih mengerti
Apa yang terlukis di cermin wajahku ini
Apa yang tersirat di hati
Bersama amali

KepadaMu Kekasih

Aku bertanya
Apakah Kau akan menerimaku kembali
Atau harus menghitung lagi
Segala jasa dan bakti
Atau harus mencampakku ke sisi
Tanpa harga diri

Hanya padaMu Kekasih

Aku tinggalkan
Jawapan yang belum ku temukan
Yang bakal aku nantikan
Bila malam menjemputku lena beradu

KepadaMu Kekasih

Aku serahkan
Jiwa dan raga
Jua segalanya
Apakah Kau akan menerima penyerahan ini
Apakah Kau akan menerimaku
Dalam keadaan begini


.........

Astaghfirullah

Tabahkan hatimu

Bermunajatlah....
Mengharap Nur Illahi

Jumaat, 4 Februari 2011

Bersangka baiklah.....

Bersangka baiklah dengan apa yang telah ditentukan ALlah.... 
Mungkin ianya bukan yang menggembirakanmu, atau ia amat menyakitimu... 
Tapi, yakinlah bahawa.....
Di situ pasti ada suatu yang lebih berharga dan bermakna di sisi Tuhan...
Kuatkanlah mujahadah di hatimu....
Agar terus istiqamah pada jalan yang telah dipilih itu..

Di atas segala ketentuanNya itu jugalah...
pasti ada RahmatNya,
serta KeampunanNya...


Bersabarlah dalam menitip segala rentetan kehidupanmu 
di dunia yang serba menduga ini...
Yakinlah di situ, adanya perhatian dan kasih sayang Allah
yang sedang membelaimu
yang sedang memahamimu
yang terus menemanimu...
Amin Ya Rabb


Semoga semakin dekatlah duhai Tuhan 
di dalam hati kita
Mereka yang mengingati Allah,
pasti Dia turut bersama kita...

Khamis, 3 Februari 2011

Melukut di tepi gantang....

Di malam yang sunyi
Dudukku termenung sorang diri
Di jendela sepi
Hingga dinihari
Ku menantikan kepulanganmu
Namunkah hanya sekadar
Tinggal kata-kata
Bagaikan melukut di tepi gantang
Begitulah aku
Di dalam hidupmu
Ada tiada tak memberi kesan
Hanya aku menanggungKerinduan..
Dulu pernah kau katakanSayang
Ingin mendengarku berlagu riang..
Menawar duka larakuLupakan saja..
Derita yang berlalu
Tapi mengapa dirimu, kasih..
Ibarat lalang ditiup angin
Kasihmu diracun oleh kata fitnahpenuh hina
Hingga kini kau biarkan saja..
Diriku menanggung sepi
Dengan irama dukaku
Yang tak bermakna bagimu...

Apa pulak sinonim nya dengan situasi aku yek...?
Masya Allah......

Melukut di tepi gantang kah....?

Dilema lagi nampaknya.... Kenapa sering beperasaan begini... Kita berada dalam posisi yang seumpama kitalah yang bersalah..... Apa lagi yang perlu aku jelaskan..? Hati ini jualah yang akan terus memendam rasa, umpama melukut di tepi gantang....pun ada...



Aduhhh....macam mana nak kuceritakan perasaan yang melanda kini ya... Astaghfirullahal azim...... Ya Allah, tetapkan hatiku dalam membuat ketetapan dan keputusan ini.... Hanyalah Engkau yang Maha Memahami, tiada siapa pun insan di dunia ini bisa menyelami hati sanubariku ini.....

Aku bukan lah insan terbaik di dunia ini. Hanya seorang manusia yang banyak dosa..hati penuh syak wasangka, sering lemah dalam mengepal azam.. Ya Allah, bantulah hambaMu ini.... Izinkan daku berada di atas jalanMu yang benar ini selamanya.... Jauhkanlah diriku dari dipimpin dari bisiskan-bisikan syaitan yang merosakkan....

Ya Allah, hadirlah Kau di dalam hati ini....


Aku bukan insan terbaik....hadirlah duhai Tuhan dalam lubuk hati ini...

Sabtu, 29 Januari 2011

Berapa pusar Ziad???

Anakku berpusar TIGA!

Muhammad Usamah Ziad, ada tiga pusar???

Biasanya pusar ni, setiap orang ada satu saja. Tapi adakalanya ada juga yang mempunyai dua pusar. Mengikut kata orang tua-tua, mereka yang berpusar dua ini, kalau menternak haiwan ternakan; kambing, lembu atau biri-biri, akan menjadi(membiak). Itulah yang telah kami perasan dari kecilnya, Ahmad Baihaqi memang berpusar dua...maka, memang menjadi cita-citanya untuk menjadikan usaha menternak kambing sebagai kerja sambilannya nanti, di samping kerjaya tetapnya, seorang arkitek...


Lain pula ceritanya dengan Usamah Ziad...setelah dia agak besar baru kami benar-benar perasan yang dia mempunyai 3 pusar sebenarnya.... Memang dari kecilnya, aku sendiri perasan, rambut di bahagian hadapan(atas dahi) agak lebat yang 'semacam'. Tapi tak kisah sebab memang angah pun berpusar dua. Cuma bagi pusarnya yang di tengah-tengah kepala itu, sebenarnya sangat berdekatan... Maka, 2 + 1 = 3 lah pusar yang dia ada....


Entah apa pulak kelebihannya....


Dua pusar di tengah kepala yang sangat berdekatan
Satu lagi pusar yang agak ke hadapan..perasan kan?
Ziad encem!
Semoga semua anakku, lelaki dan perempuan kan menjadi anak-anak yang soleh dan solehah...insya ALlah...

Jumaat, 21 Januari 2011

Sejenak cuma...

Hidup ini cukup indah. Penuh dengan misteri. Kata orang warna-warni. Adakalanya kita berduka, ada juga masanya kita gembira. Yang penting, dalam apa jua keadaan sekalipun, sentiasa ingat kepada Sang Pencipta, Allah s.w.t. Syukur dan sabar; dua rahsia kejayaan...namun sukar untuk menjadi pegangan kukuh dalam langkah kaki dalam kehidupan ini.....

Khabbab Al-Art merupakan orang yang meminta Rasulullah s.a.w. berdoa supaya dilepaskan daripada kezaliman arab Quraisy. Lalu Nabi s.a.w mengingatkan Khabbab akan betapa umat terdahulu ujiannya jauh lagi hebat daripada ujian yang mereka hadapi ini.


 Cabaran itu akan sentiasa hadir. Dan itulah gunanya kita, manusia yang dikurniakan akal untuk berfikir. Namun harus diingat, kata Hamka, hujung akal adalah pangkal agama. Akal ini ada hadnya.
Moga, kuatlah jiwa...kukuhlah prinsip, yakinlah pada apa yang telah menjadi janjimu serta tasydik di sanubarimu. Biar apa pun yang melanda, yakinlah bahawa Allah tetap ada bersama di pihak yang benar.... Ingat dan selalulah beringat bahawa Allah sedang mengujimu, dengan setiap belaian jua sentuhan ujian, mehnah juga dugaan. Tabahlah duhai hati, insya Allah di sana nanti, akan ada sakinah yang abadi....


Insya Allah, semoga Kau kukuh di hatiku....

Khamis, 16 Disember 2010

Antara yang berkesempatan....

Sarapan pagi : Menu Sihat suatu pagi nan lalu...
Menjadikan anak-anak sihat dan kuat!
Jarang-jarang sarapan yang disediakan seringan itu. 
Namun, bila disediakan begitu rupa, tak berpeluanglah untuk menambah atau 'double' menu.... 
Hehe, satu cara untuk menjadikan keluarga betul-betul sihat...
Cuma.....
Perlukan kelapangan masa, kepakaran dan komitmen(istiqamah)
Insya Allah....

Selasa, 14 Disember 2010

Planetarium lagi...

Sempena meraikan kehadiran sepupu anak-anak, Muhammad Asyraf, kami sekeluarga sempat membawa semua budak-budak ni, melawat Planetarium Melaka. Memang seronok jugak lah mereka, al maklum, jumpa beberapa orang angkasawan NASA(mat salleh)... Ramai orang pada hari kami berkunjung itu, termasuklah juga kawan matrik ku dahulu, Suhaila Osman sekeluarga....

Masing-masing menyemak apa yang menarik.....

Khusyuk memberi tumpuan
Membuat 'teleskop' ke ni?
"Bahagian ni, adik lipat ke dalam.... Yang ni pula tanggalkan.."
Masa untuk demonstrasi
Wang kertas RM10 di bawah sinar cahaya UV.
Melepas lelah berkaroake di Mydin; lagu Salawat(Raihan)

Kandang kambing?

Sedar tak sedar, dah tinggal lagi 2 minggu sahaja lagi cuti semester 2 2010 ini. Lagi 2 hari aku mula sibuk, perlu fokus kepada tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan. semoga suami, anak-anak dan keluarga terdekat memahami akan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepadaku selama ini.

Teringat aku akan segala aktiviti, jelajah dan program yang sempat diadakan demi mengisi masa cuti anak-anak ini agar mereka tidak bosan dan merasa mereka dihargai....

Antara kenangan yang dapat dirakam dek lensa kameraku yang sudah pun menamatkan jangka hayatnya, melainkan dibaiki atau dicari ganti yang baru... Suatu petang itu, abah teringinkan sangat bekalan baja asli, maka kuhubungi bekas muridku, Aisyah Abd Wahid, lantas anak-anak yang tak pernah ke kandang kambing turut ikut, untuk merasai bersama suasana itu.....
Si anak kambing yang kurang sihat
Sampai naik ke atas kandang!
Buah markisa...jus markisa ala-ala jus limau...sedap!
Sempat Angah bermain buai


Ahad, 12 Disember 2010

Percutian Keluarga 2010

Pada 11 Disember yang lalu, agak kelewatan, setelah bertolak dari rumah, menuju ke destinasi, tapi harus ke rumah Mak Ngah terlebih dahulu...untuk menempah baju sekolah anak-anak untuk tahun hadapan... Setelah selesai, kiranya telah agak terlewat untuk  meneruskan perjalanan ke Gambang, maka kami sekeluarga memutuskan untuk menghabiskan malam itu di Port Dickson sahaja...maka bermalam lah kami di Tiara Beach Resort, petang itu lagi...anak-anak tak sabar-sabar untuk melepaskan giannya, bermain air...

Tiara Beach Resort

Kenangan dahulu tercipta kembali



Esok pagi, mereka semua turut mengajak ibunya ini untuk sama-sama main air....sehingga jam 10 lebih juga bermandi-mandian, sebelum meneruskan kembara keluarga ke Bukit Gambang..... Sempat juga petang itu, check in dengan mengambil school holiday package; RM592 dan petang itu hanya bermain air di kolam hotel sahaja sebab telah agak petang.

Rakaman "anak-anak air"...

Di sebelah malamnya, sempat lagi si kecil-kecil ini, merayu untuk menaiki beberapa permainan yang ada di situ, umpama Fun Fair yang biasa dilihat di tempat sendiri...maka ditunaikanlah juga kehendak mereka....

Merry Go-Round....

Asmaa' dan Ziad 'naik gajah'!



Keesokan itu barulah ke Water Park nya, setelah mencuba beberapa permainan di sebelah malam, selepas dinner yang disediakan bersama pakej yang diambil. Ternyata keseronokan yang amat sangat mereka semua. Yang kami ni pun tumpang seronok dan amat release... Semoga apa yang dibuat ini mendapat perhatian Allah dalam usaha untuk menyuburkan lagi kasih sayang sesama keluarga, insya Allah...

Berhenti solat di Perhentian Gambang

Santai di Anjung bilik hotel(N2-03-05)
Ikan yang memuntahkan air!
Satu-satunya gambar kenangan....
Keesokan pagi nya, bangun pagi, badanku sakit-sakit, begitu juga kaki... Terbuktilah yang aku sudah tua... Bermuhasabahlah diri....
Related Posts with Thumbnails