Anda Dihargai....

Memaparkan catatan dengan label Luahan. Tragis. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Luahan. Tragis. Papar semua catatan

Sabtu, 2 April 2011

Terima, Pasrah, Muhasabahlah.....

"Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Luh Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.." 
(Surah Al-Hadid: 22-23)

Kumulai bicara kali ini dengan sepotong ayat yang benar-benar menyentuh sanubariku...dalam salah satu entri, di www.iluvislam.com, rencana ini membuatkan jari jemari ini pantas membariskan sekelumit bicara yang telah lama tidak kunukilkan di sini...

Mengapa agaknya, terkesan di hati ini dengan peringatan Allah ini... Sejak akhir-akhir ini, terasa macam banyak sungguh ujian yang Allah kirimkan buatku mengharungi kehidupan sehari-harian, sama ada selama mana di dalam fasa berkerjaya ataupun selepas waktu kerja. Adakalanya bertimpa-timpa... Satu demi satu...


Pernah tak kita merasakan mereka yang di sekeliling kita amat sukar untuk memahami kita, sedangkan kita sebaik mungkin cuba untuk memahami mereka semua.... Ya Allah, aku yakin inilah ujianMu untuk diri hambaMu ini bagi menggarap nilai kesabaran yang tinggi dalam diri.... Telah puas zaman mudaku dengan amarah yang sering menjadi seumpama suatu kemestian... Memang kuakui, ada ketikanya, sukar sungguh untuk ku mengawal amarah itu... Aku yakin Kau tetap bersama dalam hati ini untuk ku monitor kondisi diri yang kadangkala tidak keruan dek si amarah itu...



Maaf teman, maaf semua... Bukan niat di hati ini untuk membuat dirimu sehingga tersendu dek bicara dan hujahku, namun itulah yang mungkin kupendam selama ini. Aku sering mengingati akan suatu hadis yang mengingatkan kita tentang usaha amar ma'ruf, nahi munkar... Dan pada ketika itu, kugunakan kuasa kedua yang masing-masing kita ada....LIDAH sebagai penyampaian dakwah secara lisan. Selama ini, aku berdiam bukan bermakna bersetuju dengan apa yang terjadi, namun bila rasa tercabar dengan tohmahan dan fitnah yang melampau, fikirku, tidak salah untuk ku bertegas dan menyatakan apa yang benar dan apa yang kutahu, lalu kusampaikan kepadamu.. Terlalu lama kita seumpama terbelenggu dek kesalahan yang mungkin kita cipta sendiri...dan yang lebih paraha apabila kesalahan kita semua berkait rapat dengan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada kita semua...

Amana-amanah itu.....

Tercarik kah sebuah ikatan lagi??? Ya Allah, tidak kuniatkan untuk mengukir sengketa lagi... Cukuplah yang satu itu..... Dirimu kuhormati, aku sedar, aku perlu meletak rasa hormat kepada mereka yang berhak. Namun, ini suatu yang mungkin jarang dibuat dek orang lain. Apa yang kuharapkan ialah semoga akan ada suatu muhasabah bersama, bukanlah sesi "menuding jari"....telah terlalu banyak ingatan ILlahi, silih berganti...untuk kita mengkoreksi diri.....apakah tidak lagi kita semua sedari...?????

Namun, amat sedih apabila kulihat reaksi spontan yang ditunjukmu, apabila kita ditakdirkan berselisih di perjalanan. Terkilan ku dengan sikapmu, dengan sengaja mengambil jalan lain apabila ternampak dek dirimu, akan bertembung dan berselisih denganku. Amat jelas sekali.....dan di situ, membuatkanku semakin mengenali sikap kalian di atas sana.... Apabila dibicarakan sedikit....mungkin boleh dianggap sebagai teguran, itulah respon kalian...seumpama tidak boleh menerima. Sedangkan kami semua diingatkan supaya boleh terima teguran... Apakah ini "cakap tak serupa bikin"???

Astaghfirullah....semoga aku tetap kuat di jalan ini. Tabah dalam hati dan sabar menghadapi semua agenda duniawi atau tragedi yang bakal terjadi lagi... Semoga Allah tetap di sisiku....

Ameen...

Selasa, 30 November 2010

...buat ku teringat kembali.

Pada sebelah petang tadi, seperti biasa, membawa ibu ke klinik untuk rawatan bulanan. Ke Klinik Amal, Bkt Katil, Dr Rahimah; yang juga bekas murid ibu dulu, di SRK Durian Daun. Seperti biasa rawatan yang ibu terima, tidak perlukan sebarang bayaran, mungkin itulah amalan doktor ini, sebagai membalas jasa seorang gurunya... Semoga lebih dirahmati Allah insan-insan mulia seperti ini....

Dengan ruang waktu yang singkat, kesempatan diambil juga untuk dapatkan tekanan darahku yang terkini...kerana akhir-akhir ini, sering benar rasa kepeningan dan sakit(bengal) kepala. Belum pun sempat mesin pengukur tekanan darah itu menunjukkan bacaannya, dapat kurasa, debaran di dada, memang rasanya kali ini, tekanan darah yang bakal ditunjukkan akan tinggi juga....

Sah : 143 / 104.... Huh....
Terkenang <<<
Masih ingat lagi, insiden 25 Oktober yang lalu, selain daripada istimewa akan hari itu, suatu hadiah paling istimewa yang ALlah kurniakan buatku, bilamana hidungku berdarah, semasa mesyuarat berlangsung. Terlalu emosional barangkali, bila kusuarakan tentang satu perkara yang mungkin menjadi sejarah dalam hidupku, mahupun sejarah di tempat aku mencari rezeki, sesuap nasi itu...hanya Tuhan yang tahu, bagaimana ketika itu, bercampur baur perasaan dalam fikiranku, selepas teman sebelah menegur, "hei, hidung awak berdarah lah...!". Tersandar aku dibuatnya....

Kesan darah pada tudung.

Kesan darah yang banyak pada tisu

Ada hikmah, bila ke klinik berdekatan dengan rumah, doktor memberitahu, tekanan darah yang amat tinggi sehingga menyebabkan ia memberi 'pressure' ke bahagian kepala dan pergi ke saluran darah yang halus(kapilari darah) yang berada di hidung, maka hidungku berdarah! *Ini penjelasan doktor di klinik tersebut. *Tekanan darahku pada hari itu = 164/113. Memang terperanjat besar aku dbuatnya. Maka, dapatlah cuti rehat sehari(keesokan harinya). 

Malamnya, hidung yang berdarah ni, bukan senang pulak untuk berhenti pendarahannya... Agak lama jugak kena rehatkan diri(menyandar) dan rilekskan minda...

>>>sehari berlalu,
Seawal esok paginya, selepas anak-anak kuhantar ke sekolah(perkara yang sekali sekala dapat kulaksanakan, bila dapat Cuti Sakit begini), biarlah itu hak anak-anak, selagi terdaya kuberikan kasih sayang untuk mereka...apa yang membuatkan aku benar-benar terperanjat, bila telefon bimbit ku menerima satu pesanan ringkas, seawal 7:49 pagi. dalam hati, ku teringatkan pada anak-anak murid tingkatan 4 yang akan berhadapan dengan PAT Biologinya hari itu...

Hari ini, pesanan ringkas yang kuterima ini akan ku'delete' dari telefon bimbit ini, namun sebelum itu, biarlah kunukilkan di sini, sebagai satu titik sejarah hidupku....yang tak mungkin mudah untuk kulupakan, kerana ia benar-benar terkesan dalam hati ini...

"If u r not happy with my 'teamwork', tell me not in a meeting 
that has none connection!
pls don't try 2 get people attention by bleeding nose, 
that's pure CHEAP acting!"

Menitis air mata
Masya Allah...Astaghfirullah...Ya Allah, apakah yang sedang berlegar di ruang fikirannya... siapakah gerangannya yang "memanjangkan" cerita kepada dia, kerana beliau tiada dalam mesyuarat semalamnya. Apakah dia benar-benar jelas apa yang kuperkatakan semalam...? Ya Allah...betapa lemahnya imanku, betapa hinanya diri ini, terasa begitu sedih yang amat... Mungkin tidak sampai aku ke medan perjuangan, menghunus pedang demi mempertahankan aqidah, namun bila berkata-kata tentang suatu yang Haq, amatlah kerdil iman dalam diri, kerana umpama tergugat dek cemuhan, amaran, cercaan mereka di sekeliling.....

Ah,biarlah....akhirnya, terkeluar juga dari mulut ini, biarpun payah bagiku......ALLAH KAN ADA, Dia akan tetap bersama mereka yang benar dan menegakkan kebenaran. Usah kau ragu, usah kau bimbang, yakinlah yang kau telah melaksanakan satu amanah yang benar lagi membenarkan, insya Allah...

Apa yang menimpa diriku, tak ramai di kalangan rakan setugas yang tahu, hanya mereka yang benar-benar sahabat dapat menyelami apa yang kulalui semalam. Ya Allah, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul....setelah sekian lama di bumi bertuah itu, namun entah mengapa hatiku ini bagaikan tidak tenteram dan tenang di situ, sejak akhir-akhir ini lebih-lebih lagi... Mungkin sebagai kafarah dosaku yang terdahulu, mungkin juga sebagai peringatan dariMu kepada semua yang di sana agar jangan dilupa segala batas yang telah ditetapkan atau barangkali juga sebagai tingkatan iman untuk mereka yang dipilihMu... Apapun yang hakikatnya, perkara yang telah berlaku itu, biarkan ia berlalu...memori tragis ini, biar ia terpahat di lubuk hati ini yang paling dalam...usahlah hendaknya ianya berulang lagi, kasihan kulihatkan anak-anak didikku yang kehingusan, pinta bimbingan lagi pimpinan, namun bila terhidang sajian mengasyikkan, masakan diri lemah iman, tak terdorong untuk sama-sama meraikan.....Astaghfirullah....Astaghfirullah...Astaghfirullah........

Doa qudusku buat anak-anak didikku sekalian, agar terus terpelihara dan terlindung dari angkara kemungkaran dan kejahilan yang mungkin datang tanpa sedar, menusuk dalam aroma kehidupan bersama-sama sahabat dan taulan, di samping mereka yang lebih dewasa namun adakalanya, kami bukanlah yang terbaik untuk kalian gelar murobbi sejati... Astaghfirullah....

Ampunkanlah dosa kami, Ya Allah....
Ampunkanlah dosa kami, Ya Allah.....
Ampunkanlah dosa kami, Ya Allah.....


Sebelum melelapkan mata ini, terima kasih buat bekas adik seusrah, saudara Izzudin Alimin, yang juga seorang pakar pemakanan, dalam bualnya seketika tadi, membaitkan beberapa tips kesihatan untuk kujadikan pedoman, agar taraf kesihatanku yang mula merosot ini tidak berlanjutan teruknya....

Antara katanya :
ptama:
pastikn stiap kali mkan nasi ada sayur hijau..ulam tlebih baik
kedua: kalu dpt gak sgt2 baik setiap hari 2 kali makan buah-buhan...
k3: jaga tido..jgn lewat sgt..cukup rehat
k4: perasan mknn spt garam gula kene kurang2, penambah rasa spt kicap, seasoning.. tu semua kene jaga/hati2
lain-lain:
bole minum air byk: 1.5L saiz tu 2 kali sehari minima...
try teh tanpa gula,teh lebih baik dr kopi tp teh o
teh herba pun ok
Related Posts with Thumbnails