Anda Dihargai....

Memaparkan catatan dengan label Gelagat Permata Hati. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Gelagat Permata Hati. Papar semua catatan

Sabtu, 17 Mac 2012

Anak-anak amanah Allah

Foto Syawal tahun lalu

Anak-anak permata bahagia.... Mengorak langkah usia yang semakin bertambah, anak-anak yang semakin membesar, membuatkan diri ini merenung ke dalam diri betapa banyaknya nikmat yang telah Allah kurniakan dengan segala anugerah pada anak-anak yang dikurniakan dengan pelbagai macam kelebihan, walaupun kekadang ianya merupakan karenah yang sememangnya menduga kesabaran dan kesungguhan hati seorang ibu..... 

Asmaa' Dalili : keletahnya percakapannya - Masya Allah....bersesuaianlah dengan namanya.... Agaknya masa dia dalam kandunganku, mungkin aku memang banyak bercakap...sebab itulah agaknya dia sangat banyak dan pandai bercakap... Ingat ya nak, semoga kata-kata kita itu semuanya yang baik-baik belaka dan menjadi buah-buah kebajikan di dunia ini, insya Allah.

Merah pun boleh lah, gantikan pink!



Muhammad Usamah Ziad nama diberi....nama yang terpanjang dalam keluarga ini.... Harap-harapnya nanti tidak menjadi beban buatnya untuk memikul tanggungjawab bersama sebagai pejuang agama di kala besar nanti.... Seperti kata ayahnya, sempena Sirah Nabi, siapakah dia  Usamah Zaid yang begitu besar jasanya untuk Islam dan menjadi kesayangan Nabi s.a.w.... 

Nak jadi Mat Rempit ke ni...?


Nama diberi Ahmad Baihaqi, sempena mengambil berkat salah seorang perawi Hadith sahih, Imam Baihaqi. Kalau diikutkan, kemahiran tangannya memang mendahului abang adiknya yang lain. Sering aje kita akan temui 'hasil kraftangan' nya yang bermacam-macam jenis dan aspek... Semoga semua kelebihan itu akan dimanfaatkan untuk kemajuan ad-deen kita yang suci ini, insya Allah....



Kreativiti Baihaqi dalam Tower Up Game
Abang Long - Abdullah Muzakkir nama diberi, yang bermaksud "Hamba Allah yang sentiasa memberi peringatan" - seiring dengan penderitaan yang ditanggungnya semenjak dilahirkan ke dunia ini. Dengan segala keperitan seawal usia selepas dilahirkan hinggalah ke usianya 77 hari, dengan gejala Chronic Lung Disease yang dikhabarkan oleh pihak Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah, Muzakkir membesar agak lambat di masa awal kanak-kanaknya... Namun setelah keimunan dirinya terbina, Alhamdulillah - syukurku padaMu, Ya Allah, semoga beliau kan menjadi contoh teladan yang baik untuk semua adik-adiknya...


Umpama anak MERDEKA!


Syukurilah dengan zuriat yang dikurniakan dan janganlah hendaknya kita mensia-siakan mereka kerana anak-anak adalah amanah Allah yang akan dipersoalkan semula nanti di hari perhitungan. Berdoalah selalu untuk mereka agar dapat menjadikan kehidupan mereka nanti di kala ketiadaan kita di dunia ini sebaik-baik kehidupan dan semoga mereka dapat mendoakan untuk kita, Insya Allah....

Rabu, 4 Mei 2011

Syukur padaMu, Ya Allah...

Kebesaran Illahi sungguh terserlah pabila kita melihatkan pembesaran anak-anak....terutamanya semasa tidurnya mereka tu.... Dengan serta merta, terimbau zaman bayinya mereka, betapa agungnya kuasa Illahi..kini telah besar anak-anak ini....

Semasa lenanya, anak-anak ini, tidak sedar jika diulit mereka...terkenang sekali lagi, semasa kecilnya, begitu sukar ada antara mereka itu untuk dilenakan.....

Syukur ke hadrat Mu Ya Allah, atas segala kurniaan yang tidak ternilai harganya ini. Semoga mereka kan menjadi anak-anak yang soleh dan solehah. Semoga ujian kesakitan ini membei pengajaran dan pengertian sebenar erti syukur ke hadrat Mu, Illlahi Rabbi....

Keletihan......terlena sebaik sahaja tiba dari sekolah agama.


Bukan posing ni...tapi penangan sakit mata...dah seminggu tak ke sekolah.

Ahad, 1 Mei 2011

Cuti 3 hari....buat apa?


Apa saja yang diisi cuti kita ini....
Bila dapat cuti agak panjang
Semua suka,
Macam-macam yang dirancang...

Tapi,
Bila dah tiba waktunya...
Entah apa-apa yang dibuatnya...
Mmmm....kadang-kadang,
Memang kita senang lupa dan terleka....

Anak-anakku,
Sama-samalah kita manfaatkan
Cuti kita.....
Jom!

Makan...makan...makan.....




Makan angin....jalan-jalan....

Gaming...sampai juling!

Impian dan harapan.....

Isnin, 14 Februari 2011

Keletihan dia......


Kepenatan sungguh nampaknya puteri tunggalku. dalam pada ia bercerita sambil membuat kerja rumah, tiba-tiba senyap aje... Bila kutoleh, tengok-tengok dah senyap, rupa-rupanya dah lena.....

Penat agaknya sekolah pagi dan sekolah petang....tak mengapalah, bakal pelajar pintar, anak solehah harapan keluarga. Asma' ni lah temanku sekarang. Bila-bila dia perasan ibunya dalam berduka, dialah yang akan jadi penenang jiwaku yang bergelora...mengambil alih tugas seorang kaunselor... Ramai juga yang berkata, anak perempuan ni  nanti, semakin meningkat umur remajanya, dia akan menjadi teman baik kita...

Wallahua'lam...

 

Sabtu, 29 Januari 2011

Berapa pusar Ziad???

Anakku berpusar TIGA!

Muhammad Usamah Ziad, ada tiga pusar???

Biasanya pusar ni, setiap orang ada satu saja. Tapi adakalanya ada juga yang mempunyai dua pusar. Mengikut kata orang tua-tua, mereka yang berpusar dua ini, kalau menternak haiwan ternakan; kambing, lembu atau biri-biri, akan menjadi(membiak). Itulah yang telah kami perasan dari kecilnya, Ahmad Baihaqi memang berpusar dua...maka, memang menjadi cita-citanya untuk menjadikan usaha menternak kambing sebagai kerja sambilannya nanti, di samping kerjaya tetapnya, seorang arkitek...


Lain pula ceritanya dengan Usamah Ziad...setelah dia agak besar baru kami benar-benar perasan yang dia mempunyai 3 pusar sebenarnya.... Memang dari kecilnya, aku sendiri perasan, rambut di bahagian hadapan(atas dahi) agak lebat yang 'semacam'. Tapi tak kisah sebab memang angah pun berpusar dua. Cuma bagi pusarnya yang di tengah-tengah kepala itu, sebenarnya sangat berdekatan... Maka, 2 + 1 = 3 lah pusar yang dia ada....


Entah apa pulak kelebihannya....


Dua pusar di tengah kepala yang sangat berdekatan
Satu lagi pusar yang agak ke hadapan..perasan kan?
Ziad encem!
Semoga semua anakku, lelaki dan perempuan kan menjadi anak-anak yang soleh dan solehah...insya ALlah...

Ahad, 5 Disember 2010

Aksi Menarik untuk ditonton.....

Sketsa ini dapat kurakam semasa berhenti bermusafir di perjalanan balik dari Terengganu ke Melaka. Yang seronoknya, kedua-dua permata hatiku ini terus "beraksi", biarpun si ibunya memberitahu yang aksi mereka sedang difokus lensaku... Lihatlah betapa geramnya si Angah dan betapa lawaknya Ziad....

Mulanya, hanya gurauan....

Sehingga mengetap bibir(si Angah)
Penonton setia begitu khusyuk di belakang sana...pada jarak yang agak selamat, kerana dikhuatiri insiden yang lebih merbahaya mungkin berlaku akibat aksi hebat ini....

Kaki ayam rupanya Ziad!

Eh, macam main-main pulak!

Step terakhir....
Sebelum bersepai kamera, sebelum terpelecok kaki, maka aksi hebat ini dihentikan, tapi wisel tak ditiupkan. Penonton setia yang di belakang tu pun, mungkin akan tumpang sekaki kalau melihat salah seorang kekandanya "parah" diserang....

Isnin, 25 Oktober 2010

Persiapan untuk esok : SELAMAT BERJUANG ANAK-ANAKKU... (Peperiksaan Akhir Tahun)

Ziad : BM dan Matematik

Along & Angah : Pendidikan Seni
Angah merealisasikan kreativitinya

   Seperti biasa, malam ini, menjadi guru tusyen. Bersama-sama anak-anak untuk persiapan mereka bagi hari esok, Peperiksaan Akhir Tahun 2010. Siangnya tadi tidak pulak teringat untuk menegah mereka bermain; berbasikal, badminton dan 'main sembunyi-sembunyi'... Sebelum tu, hi-tea di Equatorial Hotel, sebagai Pre Celebrating (agaknya untuk diri ini). Terima kasih semua.....

Kenangan hari esok : 25 Oktober 2010



 
   Semalam yang telah berlalu pergi, kelmarin yang semakin ditinggalkan dan esok yang pasti akan terus menanti... Syukurku padaMu, Ya Allah terus diberikan kesempatan, nikmat dan segalanya ini, demi selangkah dan setapak lagi berbekalkan kudrat yang masih tersisa sebagai hambaMu yang kan terus menegakkan kalimah suci, kalimah Tauhid itu...di pentas kehidupan dunia yang serba fana' ini.

  
  Semakin diri ini mendekati waktu yang satu itu, ajal yang pasti...ini bermakna telah tiga puluh lapan tahun Allah Yang Maha Pengasih lagi Penyayang serta Pengampun memberi kesempatan buat diri jahil ini untuk terus hidup dan menghirup begitu banyak nikmatNya di dunia ini. Suatu tempoh yang agak panjang sudah...adakalanya, terasa seperti terhenti sudah langkahku itu, muktamad sudah kalam bicara itu.....namun kugagahi semula, kuharungi kembali demi janjiku terdahulu, demi ikrarku suatu ketika dahulu, juga demi kehidupan anak-anak tercinta.....dikaulah permata hatiku, penguat jiwaku, biarpun sememangnya kalian jugalah ujian terhebatku....Selama tempoh ini jugalah aku sering bermonolog sendiri apakah telah terlaksana segala pengorbanan hidup kurniaanMu ini untukMu atau untuk ad-deenMu yang suci ini....? Atau sekadar diriku ini disibukkan dengan urusan duniawi yang tak pernah kunjung henti.....

Anak-anak permata hatiku...kenangan itu....
Memori bersama - Afnan Syakirah
Nostalgia 5 Ogos 2009



  Sesungguhnya, Ya Allah nikmat usia ini...suatu nikmat amat besar dan berharga dariMu, Pencipta Al-Khaliq kepada hamba-hambaNya. Cumanya terkadang itu, sebagai manusia yang sering terlupa dan terleka dengan seribu satu macam permainan dan godaan dunia.Manusia itu yang seringkali sahaja terlupa tujuan sebenar kewujudannya untuk berdiri di muka bumi Allah yang amat luas ini...seperti peringatanNya :

‘Dan tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia itu melainkan untuk mereka menyembahKu’.


Rasulullah SAW pula pernah bersabda yang mana mafhumnya :

“Sebaik-baik manusia adalah yang diberi umur panjang dan diisi dengan amal soleh. Dan seburuk-buruk manusia adalah yang diberi umur panjang dan umurnya dihabiskan untuk hal-hal yang negatif”.


  Untuk itu jugalah, seiring dengan keupayaan untuk mensyukuri nikmat pertambahan usia ini, yang kini sudah menjejaki angka 38 ini, ku bermohon kepadaMu, Ya Allah agar sentiasa diberi keteguhan hati, kesabaran jiwa dalam menjalani kehidupan di dunia yang penuh dengan godaan ini, agar diri ini senantiasa berada di jalanMu yang satu ini.

Alhamdulillah atas nikmat usia ini.....
     Aku jua memanjatkan doa kepada-Nya agar sisa umur yang entah masih berapa lama lagi dapat aku manfaatkan dengan sebaik-baiknya. Aku ingin terus menunjukkan pengabdianku padaNya, baktiku pada kedua orang tuaku, khidmatku sebagai isteri dan seorang ibu, serta menebar kebaikan kepada sesama insan, sebagai persediaan untuk diri ini mengadap yang Khaliq kelak.....Kau berikanlah terus kekuatan itu, Ya Kareem agar aku tidak pernah gentar untuk menyatakan yang Haq itu sebagai yang Haq dan yang Batil itu sebagai yang Batil!

   Semoga bertambahnya usia ini akan menjadikan aku lebih baik dari sebelumnya dalam segala perkara.

 Amiin..Ya Rabbal ‘Alamin…

Sabtu, 25 September 2010

Ziad cipta kejayaan..

Tersenyum bangga!
Hari ini, perginya dengan tangisan pada awalnya.... Kepulangannya dengan senyuman penuh kebanggan... Muhammad Usamah Ziad, dihantar oleh Sir sampai ke rumah, sebab kawan-kawan lain tak hadir untuk latihan.. Yang buat terkejut, si bertuah sorang ni, beri salam penuh selamba...sambil berkata,"Sir yang hantar, nah..." sambil menghulurkan kepadaku Sijil dan tali pinggang kuning barunya....

Rabu, 22 September 2010

Sebentar je ni.....

Persiapan akhir untuk esok
Masih lagi bersama anak sulungku, Abdullah Muzakkir bin Ahmad Shaipuddin, yang akan terus berjuang esok untuk subjek English dan Sains. Di penghujungnya pula ada Ujian Aptitud(ujian kelayakan) untuk ke Sekolah Berasrama Penuh.

English, Science dan Ujian Aptitud
Semoga UPSR yang kau duduki tahun ini benar-benar bermakna untuk dirimu, sayang.... Bila kukenang kembali betapa sukarnya dikau dua belas tahun nan lalu, untuk mendapatkan sebuah kehidupan sejurus selepas kau dikurniakan kepada kami....akibat Chronic Lung Disease yang kau perolehi..... Tujuh puluh tujuh hari lamanya, ku menanti untuk memangku dan mendakap anak yang kulahirkan sendiri julung-julung kalinya dengan penuh keperitan dan kepayahan melalui detik-detik cemas dan penuh gusar...berbekalkan doa dan pengharapan di siang harinya dan munajat berpanjangan di lebihan hari dan malamnya....

X-Ray pesakit Chronoc Lung Disease

Muzakkir sayangku, ibu doakan agar Allah akan sentiasa bersama perjuanganmu, insya Allah. Doa ibu dan ayah akan sentiasa bersamamu, semoga hayat yang dipinjamkan oleh Allah kepadamu ini dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk dirimu dan agama, bangsa serta  negara....

....Amin.... :]

Khamis, 9 September 2010

Bunga api, 'journey' dan iftar musafir.....

 Antara yang paling menjadi keseronokan bagi kanak-kanak, ialah bermain bunga api. Tahun ini, nampaknya ada kurang berita seumpama putus jari, pecah telinga dan lain-lain, apabila seawal minggu pertama Ramadhan dahulu, kita dikejutkan dengan berita kematian seorang kanak-kanak, apabila stor tempat menyimpan mercun meletup. Aku pun pelik jugak, sebagai seorang ayah, semestinya, akan diusahakan juga setiap tahun agar agak meriah seminggu malam terakhir dengan bunga api. Walaupun sakit mata menjelang 3 hari nak Raya, dia tetap akan bijak mengambil hati anak-anak....

Si 'teruna' menggigit jari
Mercun Das; antara yang paling diminati
Mercun Gasing
 Perjalanan pulang ke kampung semalam benar-benar menguji ketahanan diri ini, apatah lagi anak-anak.  Perutku agak kurang enak, mungkin dek kerja keras mengemas rumah, di samping makanan yang tidak seberapa diambil pada sahur. Cuaca di perjalanan agak panas, jam 12.45 tengahari, kami mulakan perjalanan. Singgah sebentar di rumah Niza, untuk ambil pesanan kek lapis Sarawak untuk dibawa balik kampung.

Kek Lapis Asam Manis

Beberapa kali, abang berhenti untuk melelapkan mata barang seketika. Cuaca panas dan keadaan badan yang masing-masing keletihan benar-benar mencabar. Namun antara yang menyeronokkan kali ini, pelbagai masalah hukum dan alasan kami perbincangkan, apa lagi si ayahnya lah yang jadi Ustaz Kemusykilan Agama.

Iftar alakadar saja

Sesampai di Kuantan, singgah di rumah Kak Long sebentar. Melihatkan buluh lemang yang telah disediakan oleh Lokman dan ikan keli belaan Za, tunggu masa sahaja untuk disiang dan dipasarkan. Kemudian, abang singgah di Bazar Ramadhan berhampiran untuk membeli makanan sejumlah alakadar dahulu. Di masjid berhampiran, kami bergegas untuk melaksanakan iftar sebagai musafir di jalanan. Rasanya, ini kali pertama pengalaman sebegini..... Juadah yang ada; kuih tepung pelita, kole kacang dan lemang beserta rendang. Tidak ketinggalan air kelapa dan air tebu kegemaran semua.


Bahagian hadapan Masjid Saidina Othman b Affan, Permatang Badak
Sesi memunggah dan penstrukturan semula barang
Sempat anak daraku berposing depan masjid
 Setelah selesai mengikut imam, untuk Maghrib, kemudian teruskan dengan Jama' Takdim Isya' kami, perjalanan diteruskan lagi. Kepada suami, kunyatakan agar cepatlah berhenti makan, sebab perut macam dah masuk angin pun ada. Maka, keperluan perut kami dahulukan di Restoran Suria Perdana; yang menyediakan juadah istimewanya, nasi kukus.

Iftar sebenar di sini
Nasi Kukus

Setelah se'eh(bahasa Terengganu yang bermaksud penuh perut), kami pun meneruskan perjalanan yang berbaki lagi beberapa jam. Namun agak mencabar bila memandu dengan keadaan perut kenyang(bagi suamiku). Kami yang lain terlena semahu mungkin....Masya Allah.....

Asmaa' terlentok lena
Ziad posing comel(macam renggang je matanya)
Angah mengiring ayu
Along dah nak tersedar masa gambarnya diambil
Akhir dalam perjalanan, abang sempat singgah di Restoran Sate Pak Mezah & Seafood untuk beli juadah bagi sahur terakhir untuk ramadhan kali ini. Agak lama juga kami menunggu dalam kereta, kalau tidak masakan tak dapat mengambil pose-pose menarik anak-anak yang terlena tadi..

Sedap sate Pak Mezah ni!
Tepat jam 12.45 pagi, genap-genap 12 jam perjalanan, maka sampailah kami ke rumah tempat di mana abang membesar, di Kampung Masjid Lama, Marang Terengganu ini. Agak banyak juga perubahan terkini, seperti wakaf di hadapan rumah yang sebelum ini tiada.

Semoga kepulangan kami di Aidilfitri tahun ini akan memberi seribu pengertian dan keinsafan buat hambaNya yang ingin menuju ke arah yang lebih sempurna demi mencapai kehendak di lubuk hati setiap yang bergelar hamba, sebagai hambaNya yang bertaqwa....

MAHAR CINTA SYAWAL 
(oleh : Ust Pahrol)

Dari medan Ramadan sepenuh perjuangan
Terpamir ketulusan jiwa, kemurnian hati,
kecerdasan fikiran, ketangkasan tindakan…
Ukir semurni tadbir
Tagih sesuci takdir

Dari takbir Syawal seluruh kemuliaan
lambang satu kemenangan
mengatasi kejahatan diri dalaman
menangani angkara musuh luaran
kembali ke fitrah…
kembali kepada Allah!

Hitung syukurmu di istana rahmat-Nya
Renung sukarmu di penjara dosa-dosa
Moga keberkatan Ramadhan…
Agar Kemuliaan Syawal…
Menjadi mahar seorang hamba…
untuk melamar cinta Tuhannya!
Related Posts with Thumbnails