Sukar mata ini nak menghilang lelah siang tadi...walaupun semalamnya, amat mudah untuk ku beristirehat bagaikan sang raja. Tapi, malam ini...nikmat itu ditarik seketika olehNya, apa agaknya yang masih terus berlegar di fikiran dan sanubariku ini...aduh mata, bukankah esok, kau masih diperlukan bersama-sama sang telinga dan lidah bijak berbicara...untuk suatu lagi tugas dan amanah yang telah kau sendiri janjikan...?
Esok kan bakal muncul jua untuk kau terus buktikan bahawa dunia ini masih akan ada terus suara-suara pemberi peringatan, bisikan-bisikan tazkirah dan alunan pujukan keinsafan buat hati-hati yang masih lupa dan alpa dek keseronokan dan tipudaya dunia itu.... Mereka adalah medanmu, untuk kau terus dalam jalan perjuanganmu ini...bukankah dahulu kau juga yang sedari bahawa inilah satu-satunya pekerjaan yang tidak akan pernah kehilangan 'pelanggan'nya..... Kau ibarat seperti pekerja yang tak kan pernah ingat untuk merasa jemu atau lelah, meneruskan usaha selagi mampu kakimu melangkah....
Kuatlah jiwa, rehatlah duhai mata....pejamlah barang seketika agar esok kan lebih bertenaga....
Ya Tuhan, bantulah hamba dari segenap pelusuk cahaya yang menyinar di esok hari.
Semoga misi yang dirancang esok kan berjalan lancar bersama kiriman pertolongan dariMu yang sentiasa mengasihi hamba-hambaNya yang mengharapkan bantuan dariMu....dalam usaha menegakkan kebanaran di muka bumi ini...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan